Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 April. - Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 (MTWB 2035) antara lain membincangkan mengenai pengemaskinian Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035, agar ia lebih inklusif terhadap isu-isu semasa dan cabaran-cabaran yang sedang dan bakal dihadapi.
Pengemaskinian tersebut bertujuan untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan dasar terus relevan dan seiring dengan perubahan landskap sosioekonomi, baik di peringkat kebangsaan mahupun serantau dan global.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat MTWB 2035 kali Pertama bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini.
Juga berangkat ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Timbalan Pengerusi MTWB 2035.
Mesyuarat berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Pada mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan mengurniakan titah.
MTWB 2035 terus berperanan sebagai platform tertinggi negara dalam menyelaras, memandu dan memantau kemajuan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 ke arah membentuk masa depan Negara Brunei Darussalam yang cemerlang, mampan dan berdaya tahan.